17 mati, 21 lagi cedera ditembak seorang askar Thailand

PENEMBAK disyaki sebagai Jakrapanth Thomma, seperti dipaparkan di akaun Facebooknya.

BANGKOK: Seorang askar Thailand dikepung polis dalam sebuah pusat beli belah di sini, selepas membunuh 17 individu dan mencederakan 21 lagi dalam kejadian tembakan rambang di timur laut bandar Korat hari ini

Jurucakap polis, Leftenan Kolonel Mongkol Kuptasiri, memberitahu kejadian yang berlaku di utara timur Nakhon Ratchasima, bermula di sebuah berek tentera sebelum suspek mencuri kenderaan tentera dan menuju ke pusat beli belah, Terminal 21.

“Suspek mencuri kenderaan tentera dan memandunya ke pusat bandar,” katanya.

Media tempatan melaporkan suspek mencuri senjata dari sebuah stor tentera sebelum melepaskan tembakan rambang di bandar berkenaan.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada suspek menahan 16 tebusan dalam kejadian terbabit.

“Sekurang-kurangnya 17 terbunuh manakala 21 lagi cedera,” kata seorang jurucakap Pusat Erawan Bangkok.

Lelaki bersenjata yang dikenal pasti oleh polis sebagai Sarjan Mejar Jakapanth Thomma, mencuri sebuah kenderaan tentera, juga menyiarkan foto dan video sendiri dalam pakaian tentera penuh ketika serangan di Korat dilakukan.

Video dan foto yang beredar dalam talian menunjukkan adegan panik, dengan orang ramai melarikan diri dan bunyi tembakan automatik mengisi ruang udara.

Polis di wilayah itu berkata, mereka telah menutup pusat beli-belah Terminal 21 tetapi masih belum menangkap lelaki bersenjata terbabit.

Thailand mempunyai salah satu kadar tertinggi pemilikan senjata di dunia tetapi penembakan besar-besaran oleh askar yang menyasarkan orang awam jarang berlaku.

Beberapa tembakan di mahkamah pada akhir tahun lalu juga memperbaharui kebimbangan mengenai keganasan senjata di negara Asia Tenggara itu.

Dalam satu kes berprofil tinggi, dua peguam telah ditembak mati oleh seorang kerani di mahkamah di timur negara itu semasa perbicaraan membabitkan pertikaian tanah. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *