18 kanak-kanak di Johor diselamatkan daripada dieksploitasi sebagai pengemis

Gambar fail

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor menyelamatkan 18 kanak-kanak di negeri itu sejak Januari lalu sehingga kini daripada dijadikan sebagai pengemis dan kanak-kanak jalanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung berkata 17 kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia manakala seorang lagi merupakan warga asing.

“Kerajaan Johor mengambil beberapa pendekatan bagi menangani eksploitasi kanak-kanak sebagai penjaja jalanan di negeri ini.

“Langkah-langkah diambil oleh JKM Johor termasuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dengan melaksanakan operasi pengemis dan kanak-kanak jalanan di seluruh negeri,” katanya menjawab soalan ((Encik)) Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini (24 Nov).

Encik Mohd Izhar ingin tahu berhubung pendekatan atau tindakan kerajaan negeri bagi menangani gejala kanak-kanak sebagai penjaja jalanan yang berkeliaran di tempat terbuka seperti di medan niaga tanpa mengira masa, yang dilihat semakin membimbangkan.

Cik Liow berkata menurut perangkaan Talian Kasih, sebanyak 63 aduan berkaitan kanak-kanak diterima di negeri itu antara Januari lalu hingga kini dengan empat daripadanya melibatkan kanak-kanak meminta sedekah dan menjual barangan di jalanan, sementara yang lain melibatkan pelbagai kes termasuk kes keganasan terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata JKM memberi khidmat nasihat dan kaunseling kepada kesemua kanak-kanak yang diselamatkan dan keluarga mereka selain mengambil tindakan bersesuaian mengikut Seksyen 17 (1)(k) Akta Kanak-Kanak 2001.

– BERNAMA

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *