3 terbunuh dibadai Taufan Nisarga

 

 

Taufan Nisarga memusnahkan bumbung beberapa bangunan, namun tidak sehingga menjejaskan Mumbai. Foto AFP

MUMBAI: Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh apabila Mumbai yang masih berdepan ancaman COVID-19 dilanda Taufan Nisarga semalam, iaitu ribut pertama membadai pusat kewangan India itu dalam tempoh 70 tahun.

Bandar itu dan kawasan sekitar lazimnya terlindung daripada taufan, dengan kali akhir berdepan bencana seumpama itu adalah pada 1948.

Pihak berkuasa sebelum itu memindahkan sekurang-kurangnya 100,000 penduduk, termasuk pesakit COVID-19 dari kawasan terdedah banjir di negeri Maharashtra dan Gujarat, sebelum kehadiran Nisarga.

Ribut berkenaan memusnahkan bumbung beberapa bangunan, namun tidak sehingga menjejaskan bandar berkenaan.

Media tempatan melaporkan, tiga kematian sekurang-kurangnya dilaporkan berlaku di Maharashtra.

Seorang lelaki maut ditimpa tiang elektrik, manakala seorang lagi lelaki dan wanita terbunuh apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang.

Ribut terbabit turut melanda berhampiran pekan Alibag, kira-kira 100 kilometer dari selatan Mumbai, tengahari semalam.

Ia kemudian melintasi perairan Maharashtra, sebelum kekuatannya berkurangan menjelang petang semalam, kata pakar kaji cuaca.

Ribut itu membawa bersama hujan lebat dan angin kencang, dengan kelajuan mencecah sehingga 110 kilometer sejam (km/j). – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *