6.6kg heroin, ubat perangsang dirampas di utara Myanmar

 

Pihak berkuasa Myanmar rampas 6.6 kg heroin dan 89,300 pil perangsang.

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar berjaya merampas 6.6 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan 89,300 ubat perangsang di wilayah Sagaing.

Jawatankuasa Pusat bagi Kawalan Penyalahgunaan Dadah (CCDAC), dalam satu kenyataan, berkata sitaan itu dilakukan sepasukan polis gabungan dalam Perbandaran Indaw, kelmarin.

Bungkusan sabun diisi dengan heroin bernilai 660 juta kyat (SGD$640,000) dan ubat perangsang bernilai 446.5 juta kyat (SGD$410,000) ditemui dalam sebuah kereta.

Polis perbandaran itu memfailkan kes terhadap suspek yang berjaya melarikan diri, mengikut Undang-Undang Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik.

Ia adalah kejayaan kedua selepas pihak berkuasa Myanmar merampas 22 kg heroin dan 549,000 ubat perangsang di wilayah Mandalay, yang dilakukan sepasukan polis gabungan dalam Perbandaran Kyaukse, Isnin lalu.

Dalam rampasan itu, pelbagai bungkusan sabun diisi dengan heroin bernilai 1.54 bilion kyat (SGD$1.42 juta) dan ubat perangsang bernilai 2.74 bilion kyat (SGD$2.56 juta) ditemui dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran semak di perbandaran itu.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden, baru-baru ini 971 kes berkaitan dadah dilaporkan di negara itu, manakala 1,503 suspek sudah dituduh sehingga 8 Februari lalu susulan penubuhan Bahagian Aduan Khas Aktiviti Dadah, pada 26 Jun 2018. – AGENSI

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *