Lubang benam ‘telan’ bas di China 6 maut, 10 hilang

BEIJING : Seramai enam orang maut manakala 10 lagi dilaporkan hilang apabila satu lubang benam yang amat besar terbentuk dan ‘menelan’ sebuah bas serta pejalan kaki, lapor media negeri hari ini.

Rakaman visual memaparkan orang ramai di perhentian bas melarikan diri daripada jalan yang runtuh, ketika bas berkenaan terjunam ke dalam lubang benam terbabit.

Beberapa individu dilihat hilang di dalam lubang benam itu termasuk seorang kanak-kanak.

Kejadian di luar sebuah hospital itu turut mencetuskan satu letupan.

Stesen penyiaran rasmi, CCTV berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Menurut laporan, insiden berkenaan berlaku pada kira-kira jam 5.30 petang (waktu tempatan) di Xining, ibu negeri wilayah Qinghai dan 16 individu sudah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Lubang benam bukan kejadian luar biasa di China, yang lazimnya berlaku kerana kerja-kerja pembinaan dan pembangunan pesat negara.

Pada 2016, sekurang-kurangnya tiga orang terjatuh ke dalam lubang benam besar di wilayah Henan, yang turut menelan sebahagian jalan dan pejalan kaki.

Siasatan awal mendapati, runtuhan itu mungkin berlaku akibat kerosakan paip air bawah tanah yang disebabkan oleh hujan lebat.

Pada 2013, lima individu maut apabila sebuah lubang benam selebar 10 meter terbentuk di kawasan perindustrian Shenzhen. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *