Bantahan setelah pelajar perempuan mati dipatuk ular dalam kelas

(Gambar: AFP)

WAYANAD: Para pelajar di sebuah sekolah di India mengadakan bantahan pada Jumaat (22 Nov) setelah seorang pelajar berusia 10 tahun mati dipatuk ular berbisa yang bersembunyi dalam lubang di bawah mejanya.

Pelajar berkenaan, Shehala Sherin, hanya dikejarkan ke hospital dari sekolah itu sejam setelah dipatuk dan bila kakinya bertukar menjadi warna kebiruan, menurut laporan media.

Gurunya yang digantung tugas, tidak mengendahkan tangisan pelajar itu serta bantahan para pelajar lain.

Sebaliknya, beliau terus mengajar dalam kelas di sekolah di Kerala, selatan India.

Ibu bapa pelajar itu membawanya ke empat hospital berlainan tetapi dimaklumkan mereka tidak mempunyai ubat racun. Pelajar itu meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik kelima yang terletak sejauh 90 kilometer.

Rakan-rakan sekelas mendakwa guru sekolah menengah itu mengetepikan kecederaan itu sebagai kejadian tertusuk paku, batu atau objek-objek lain yang serupa.

Kira-kira 50,000 orang mati dipatuk ular setiap tahun di India, kebanyakannya di kawasan pendalaman dengan kadar kematian tinggi disebabkan kekurangan pusat perubatan dan bekalan ubat anti-racun yang tidak mencukupi.

Dalam kira-kira 150 hingga 200 pelajar yang membantah, seorang daripada mereka yang melilit ulat plastik di lehernya berkata sekolah itu tidak mempunyai peti pertolongan cemas dan ular biasa ditemui di kedua-dua taman permainan dan dalam bilik darjah, lapor Press Trust of India.

“Guru-guru sepatutnya mendidik para pelajar bagaimana menangani keadaan sedemikian,” kata ketua menteri Kerala Pinarayi Vijayan, sambil berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.

– AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *