Berkenalan 3 tahun di Twitter, akhirnya jodoh juga

(Gambar: Twitter/@BujangJalang)

PETALING JAYA: Asam di darat, garam di laut. Siapa sangka di Twitter bertemu juga?

Encik Zulkifli Theplak memang pemalu orangnya, namun gemar membuat lawak menerusi tulisannya di Twitter.

Namun tidak pernah beliau menyangka, dengan cara itulah beliau akan diketemukan jodoh.

Encik Zulkifli baru-baru ini mengongsi ‘meme’ perbandingan awal dan akhir dekad, menunjukkan kemajuan hubungannya dengan isteri beliau Nik Tasnim Nik Hamdani.

Satu gambar menunjukkan petikan skrin catatan Twitter Encik Zulkifli pada 2015 yang berbunyi: “lampu depan kereta terbakar ni, kena call bomba tak?”

Cik Nik Tasnim menjawab catatan itu: “Call saya pun takpe”.

Gambar seterusnya pula menunjukkan petikan skrin gambar perkahwinan mereka berdua.

Catatan itu menjadi tular dan dikongsi lebih 4,600 kali dan menerima ‘likes’ lebih 9,300 kali setakat ini, dengan para netizen terutama di Malaysia menyuarakan kegembiraan buat mereka.

Dalam temubual dengan mStar, Encik Zulkifli berkata beliau pada awalnya tidak percaya apabila melihat jawapan Cik Nik Tasnim yang kelakar itu empat tahun lalu.

“Saya tidak punyai ramai teman wanita dan saya sangat pemalu. Apa-apa yang saya catat di Twitter sekadar untuk berlawak jenaka.

“Saya tidak sangka beliau akan menjawab begitu. Beliau cantik dan pula popular,” kongsi jejaka 27 tahun itu.

3 TAHUN BUAL DI TWITTER, TIDAK KONGSI NOMBOR TELEFON

Cik Nik Tasnim mendedahkan mereka saling berkenalan hanya menerusi Twitter selama tiga tahun, sebelum akhirnya beliau berjaya meyakinkan Encik Zulkifli untuk berkongsi nombor telefon.

“Saya dapat nombor telefon namun apabila saya menelefonnya, beliau enggan angkat dan memberi pelbagai alasan.

Beliau menambah, untuk meyakinkan pemuda itu untuk bertemunya adalah cabaran yang lebih sukar.

Setelah dua bulan sejak pertama kali bersua muka, barulah Encik Zulkifli mengatasi rasa malu dan mengajak Cik Nik Tasnim untuk menjadi temanitanya.

Gadis kelahiran Ampang itu berkata beliau jatuh cinta dengan kesabaran, kematangan dan rasa tanggungjawab Encik Zulkifli, selain cara beliau melayan ibu bapanya dengan hormat.

Ibarat babak dalam drama, Cik Nik Tasnim mendedahkan, beliau dengan air mata bergelinang ‘melamar’ Encik Zulkifli.

Encik Zulkifli terperanjat, namun ia memberikannya keyakinan untuk mengambil langkah seterusnya.

Sebulan kemudian, Encik Zulkifli menghantar rombongan merisik sebelum bertunang dan akhirnya bernikah pada Mac tahun ini.

“Tidak kiralah siapa yang ambil langkah pertama. Saya ambil keputusan untuk menikahinya kerana beliau mempunyai semua ciri-ciri isteri idaman, termasuk bersikap tolak ansur,” kata beliau.

“Kami saling melengkapi.”

– MALAY MAIL

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *