Bunuh pelajar Papua pada 2014 – Tentera Indonesia bersalah

 

Sebahagian penduduk di Deiai, Papua melakukan protes menuntut pelaku penembak mati empat pelajar baru-baru ini dibawa ke muka pengadilan. – Foto Abeth Amoye You

JAKARTA: Tentera Indonesia menembak mati empat pelajar di wilayah Papua ketika protes pada 2014 dan melakukan ‘pelanggaran hak asasi manusia yang melampau’, kata suruhanjaya yang menyiasat insiden terbabit, hari ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional Indonesia (Komnas HAM) mendedahkan hasil siasatannya lima tahun selepas pelajar sekolah menengah itu mati ditembak di Paniai, kawasan utama pemberontakan di wilayah Papua, yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea.

“Insiden ini adalah perbuatan jenayah terhadap kemanusiaan,” kata ketua penyiasat suruhanjaya itu, Muhammad Choirul Anam kepada AFP dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak tentera belum memberi maklum balas ketika diminta mengulas hasil siasatan itu.

Komnas HAM sudah menyerahkan maklumat berhubung perkara itu kepada Peguam Negara Indonesia untuk memutuskan tindakan pendakwaan.

Siasatan itu tertangguh sejak sekian lama susulan beberapa tindakan oleh individu tidak dinamakan untuk menyembunyikan bukti, jelas suruhanjaya itu.

Tentera dan pegawainya perlu bertanggungjawab terhadap kematian pelajar berusia 17 dan 18 tahun itu, serta tindakan menyeksa 21 penunjuk perasaan Papua, jelasnya tanpa mengulas lanjut.

Protes itu tercetus susulan dakwaan beberapa remaja Papua dipukul oleh tentera. Pasukan keselamatan kemudian melepaskan tembakan secara terbuka selepas penunjuk perasaan melemparkan batu ke arah pejabat tentera.

Suruhanjaya itu menemubual 24 saksi, menganalisis sejumlah dokumen dan melawat lokasi kejadian bagi mengenalpasti sama ada tentera terbabit dalam kematian itu. Ketika ini, belum ada mana-mana individu yang didakwa.

Tentera Indonesia dituduh bertindak kejam terhadap orang awam di Papua ketika pemberontakan yang bermatlamat untuk memperjuangkan kemerdekaan bagi wilayah itu.

Negara Asia Tenggara itu mengambil alih pentadbiran Papua yang kaya dengan sumber mineral pada 1960-an, susulan undian untuk kekal dalam kepulauan itu, keputusan yang didakwa berlaku dengan penipuan. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *