Calon baharu PAP tarik diri bertanding PRU Singapura

 

 

Calon baharu Parti Tindakan Rakyat, Ivan Lim, menarik diri daripada bertanding PRU 2020 di Singapura. (FOTO PARTI TINDAKAN RAKYAT)

SINGAPURA: Calon baharu Parti Tindakan Rakyat (PAP), Ivan Lim, mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) selepas mendapat kritikan dalam talian berhubung tingkah lakunya ketika berada dalam Khidmat Negara.

Channel News Asia (CNA) melaporkan PAP dalam satu kenyataan, malam tadi, memaklumkan bahawa Setiausaha Agung parti itu, Lee Hsien Loong, menerima keputusan beliau untuk menarik diri.

Dalam surat kepada Hsien Loong, Lim menyebut pelbagai tuduhan yang telah dibuat mengenai tingkah laku dan perangainya.

“Selepas penjelasan saya, pagi ini, tuduhan lain pula muncul terhadap saya. Tuduhan baharu ini adalah tidak berasas,” katanya dalam surat itu.

Beliau menambah: “Saya sedar bahawa kontroversi berhubung pencalonan saya telah menenggelamkan isu utama yang sepatutnya pada pilihan raya ini – masa depan Singapura dan langkah sukar yang kita harus ambil untuk pulih daripada COVID-19.

“Kontroversi itu juga telah menyebabkan keperitan dan tekanan tinggi pada keluarga saya. Saya tidak boleh meletakkan keluarga saya dalam keadaan sebegini. Saya berterima kasih kepada parti kerana memberi peluang untuk saya berkhidmat.”

Kritikan muncul dalam talian selepas Lim diperkenalkan pada Rabu lalu sebagai salah seorang daripada 27 calon berpotensi baharu PAP. Beliau adalah kumpulan pertama muka baharu yang diketengahkan parti itu untuk menghadapi PRU 2020.

Lim, 42, didakwa bersikap angkuh, elitis dan kurang prihatin ketika menjadi pegawai dalam Khidmat Negara.

Pengurus Besar Keppel Offshore and Marine itu juga dituduh dalam talian bahawa beliau terbabit kes rasuah syarikat berkenaan di Brazil.

Terdahulu, Lim semalam menegaskan bahawa tuduhan terhadap beliau itu adalah ‘tidak berasas dan tidak benar sama sekali’.

Berhubung dakwaan mengenai dirinya sewaktu Khidmat Negara pula, Lim berkata, ‘semua orang boleh ada perspektif berbeza terhadap satu insiden sama’, ketika menjelaskan pendirian beliau dalam salah satu insiden yang dibangkitkan.

Keputusan Lim untuk menarik diri itu dibuat hanya beberapa jam selepas beliau menangani kritikan terbabit menerusi satu nota media dikeluarkan PAP dengan menyatakan dirinya ‘bertekad untuk terus teguh bertahan’ serta berkhidmat jika dipilih.

“Saya menerima bahawa saya boleh buat lebih baik lagi dan bersedia untuk belajar. Saya akan menyematkan pengalaman ini dalam hati serta berusaha sebaik mungkin untuk membuktikan diri saya kepada pengundi dan seluruh rakyat Singapura,” katanya pada tengah hari semalam.

Komen beliau menyusul selepas Timbalan Perdana Menteri dan Penolong Setiausaha Agung pertama PAP, Heng Swee Keat, berkata dirinya mahu melihat Lim tampil memberi penjelasan mengenai tuduhan berkenaan supaya rakyat boleh mendengar cerita kedua-dua pihak.

Dalam sepucuk surat kepada Lim bagi menerima keputusan beliau menarik diri, Hsien Loong yang juga Perdana Menteri Singapura, menyifatkan kontroversi menyelubungi pencalonannya itu sebagai ‘malang’.

“Sebaik-baiknya, ada pertimbangan yang wajar dan adil terhadap tuduhan ini.

“Malangnya, sifat kempen adalah sedemikian sehingga menyebabkan kita tiada masa untuk melakukan siasatan menyeluruh. Tuduhan berkenaan tersebar pantas dalam talian, menenggelamkan isu serius hidup dan mati yang kita mesti hadapi,” katanya.

Hsien Loong berkata, beliau menghormati keputusan Lim untuk menarik diri.

“Saya kesal kerana anda bersama keluarga terpaksa menanggung tekanan sedemikian ketika tempoh ini.

“Saya berharap rakyat Singapura akan memberikan anda serta keluarga ruang damai serta privasi untuk pulih, dan mengalu-alukan sumbangan berterusan anda kepada masyarakat kita,” katanya. – AGENSI

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *