China kuatkan pasukan tentera dengan ahli seni pertahan diri, pendaki gunung

 

 

Sebahagian daripada tentera yang ditempatkan di Ladakh. – FOTO AFP

BEIJING: China memperkuatkan pasukan tenteranya di sempadan India dengan ahli seni mempertahankan diri dan pendaki gunung, tidak lama sebelum berlakunya pertempuran berdarah, baru-baru ini, lapor media tempatan.

Ketegangan antara dua negara berjiran itu sudah biasa tercetus di kawasan pergunungan sempadan berkenaan, namun pertempuran bulan ini adalah yang paling buruk dalam tempoh lebih 50 tahun.

Lima divisyen militia baharu, termasuk bekas anggota pasukan relay obor Olimpik Gunung Everest serta ahli kelab seni mempertahankan diri, hadir untuk pemeriksaan di Lhasa pada 15 Jun lalu, lapor akhbar rasmi tentera, China National Defense News.

Siaran CCTV pula memaparkan rakaman yang menunjukkan ratusan tentera baharu berbaris di ibu kota Tibet.

Komander Tibet, Wang Haijiang, berkata rekrut Kelab Lawan Enbo akan ‘sangat meningkatkan kekuatan mobilisasi dan organisasi’ tentera serta ‘keupayaan sokongan dan tindak balas pantas’ mereka, lapor China National Defense News.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan secara eksplisit bahawa penempatan mereka ada kaitan dengan ketegangan di sempadan.

Pasukan tentera China dan India kemudian bertempur pada hari itu yang menyaksikan konfrontasi paling ganas dalam tempoh berdekad-dekad antara dua kuasa berkenaan, di rantau Ladakh.

India memaklumkan bahawa 20 tenteranya terbunuh, manakala angka korban pasukan China pula tidak diketahui, dalam pertempuran itu yang menggunakan batu serta belantan tanpa sebarang tembakan dilepaskan.

Satu perjanjian dua hala menghalang penggunaan senjata api, namun pertempuran berkenaan tetap sengit dengan senjata asas. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *