COVID-19: China hantar pasukan perubatan ke Malaysia

Kerajaan China akan menghantar sepasukan lapan pakar perubatan ke Malaysia bagi membantu usaha memerangi pandemik COVID-19.

BEIJING: Kerajaan China akan menghantar sepasukan lapan pakar perubatan ke Malaysia bagi membantu usaha memerangi pandemik COVID-19.

Agensi berita Xinhua melaporkan, perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, hari ini.

Katanya, pasukan diselaras Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, yang dipilih oleh cawangan suruhanjaya itu di Guangdong, berlepas ke Malaysia pagi tadi.

Pasukan itu diterajui Ketua Perubatan Kecemasan Bersepadu China dan Barat merangkap Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional China Guangdong, Dr Li Jun.

Menyertai beliau ialah Ketua Unit Rawatan Rapi (ICU) Guangdong Provincial People’s Hospital, Dr Wen Miaoyun; Pengarah Jabatan Kawalan Jangkitan Nosocomial, Dr Zhang Youping dan Ketua Perubatan Bersekutu Jabatan Pernafasan dan Rawatan Kritikal, Dr Yang Shifang.

Ahli lain termasuk Ketua Jabatan Jangkitan, Dr Luo Xiaodan; Pakar Psikologi Kanan, Dr Liu Xiangxin dan Ketua Perubatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangdong, Dr Liu Tao.

Menyertai mereka ialah Ketua Juruteknik bidang virologi merangkap Timbalan Pengarah Pejabat Pengajian Am Institut Kesihatan Awam Guangdong, Dr Sun Jiufeng.

Sebelum ini, pada 10 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pakar perubatan akan datang ke Malaysia bagi membantu usaha memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, mereka akan melihat bagaimana hospital di Malaysia mengendalikan pandemik coronavirus itu. – AGENSI

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *