COVID-19: Singapura catat 262 kes baharu, kes keseluruhan lepasi 42,000

 

 

Singapura telah melonggarkan sekatan bagi membendung penularan COVID-19 di negara itu. – Foto AFP

SINGAPURA: Singapura mengesahkan sejumlah 262 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu dengan sembilan kes dalam komuniti yang membabitkan tiga rakyat atau penduduk tetap republik itu dan enam pemegang pas.

Dengan pertambahan angka terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini ialah 42,095 kes.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan di sini pada tengah hari, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata majoriti kes membabitkan pemegang permit kerja yang menghuni asrama pekerja asing.

Singapura terus menyaksikan peningkatan kes dalam kalangan pekerja migran yang tinggal di asrama pekerja termasuk di bangunan kilang yang dijadikan asrama susulan ujian meluas di premis terbabit sebagai sebahagian proses menguji dan mengesahkan status semua pekerja.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan pada lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan sejumlah 1,813 sebagai kes komuniti, 581 sebagai kes import manakala 39,439 sebagai kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat tengah hari semalam, sejumlah 34,224 atau kira-kira 82 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit telah pulih sepenuhnya dan didiscaj dari hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Sebanyak 185 kes yang disahkan masih dirawat di hospital semalam dengan seorang berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kementerian itu.

Ia berkata, sejumlah 7,398 orang yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 26 orang meninggal dunia susulan komplikasi akibat COVID-19 dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

Empat kes tambahan itu bagaimanapun dikaitkan dengan kluster terbesar di republik itu, Asrama S11 @ Punggol, yang mempunyai sejumlah 2,770 kes disahkan. – BERNAMA

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *