COVID-19: Singapura catat 408 kes baharu, jumlah kumulatif lepasi 35,000

SINGAPURA: Singapura mengesahkan 408 kes baharu menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di negara itu sebanyak 35,292 kes setakat tengah hari ini.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata kesemua kes baharu itu membabitkan pekerja asing tinggal di asrama.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Ahad, Singapura mengklasifikasikan kes jangkitan dalam komuniti sebanyak 1,685 kes, manakala kes import 580 dan baki 32,619 kes adalah pekerja asing tinggal di asrama.

Setakat semalam, 21,699 pesakit atau 63 peratus daripada jumlah kumulatif 34,884 orang telah sembuh.

Menurut kenyataan kementerian itu, 12,841 pesakit bergejala ringan atau sihat secara klinikal namun positif COVID-19 telah diasing dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat tengah hari Ahad, 321 kes masih dirawat di hospital dengan lapan berada di unit rawatan rapi sementara 23 meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.

Sementara itu, kluster Institut Kesihatan Mental disahkan tutup selepas tiada jangkitan baharu berkait kluster itu dikesan sepanjang dua tempoh inkubasi. Bagaimanapun satu kluster baharu dikesan semalam melibatkan asrama di 128, Tuas South Avenue 3.

Kluster terbesar di republik ini, S11 Dormitory @Punggol merekodkan keseluruhan 2,711 kes positif sementara asrama terbesar di Singapura, Sungei Tengah Lodge di 500, Old Choa Chu Kang Road mencatatkan 1,988 kes.

Kementerian juga memaklumkan ia telah selesai menjalankan ujian swab pusingan pertama melibatkan kira-kira 9,000 pekerja rumah penjagaan dan 13,200 penghuni dengan hanya seorang pekerja dan empat penghuni disahkan positif.

– BERNAMA

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *