Islam Uighur di Arab Saudi mungkin dipaksa pulang ke China

Etnik Uighur di Arab Saudi menunjukkan pasport sudah tamat tempoh mungkin terpaksa kembali ke China. – Foto AFP

MADINAH: Tindakan China tidak memperbaharui pasport etnik Uighur di Arab Saudi sejak lebih dua tahun lalu dilihat sebagai komplot memaksa mereka kembali ke negara asal

Beberapa keluarga Uighur di Arab Saudi menunjukkan kepada AFP pasport mereka yang sudah tamat tempoh atau menghampiri tarikh lupus dan menyuarakan kebimbangan terpaksa kembali ke China di mana lebih sejuta etnik Uighur ditempatkan di ‘kem latihan’.

Pakar bahasa berketurunan Uighur, Abduweli Ayup, yang kini menetap di Norway, berkata keengganan China memperbaharui pasport adalah strategi untuk memaksa etnik Uighur kembali ke China, di mana sudah pasti mereka akan ditahan.

“Sejak 2017, berlaku lima kes pengusiran etnik Uighur dari Arab Saudi, sama seperti yang dilaporkan berlaku di Mesir dan Thailand.

“Malah, ada yang takut kembali ke China meskipun mempunyai pasport yang sah kerana tidak tahu apa akan jadi kepada mereka nanti,” katanya.

Seorang penuntut jurusan agama di Madinah berkata pasportnya tidak diperbaharui kerajaannya sejak ia tamat tempoh pada 2018.

“Kerajaan (China) sepatutnya memperbaharui pasport atau membiarkan kewarganegaraan saya digugurkan, sebaliknya tindakan ini seolah-olah kami tiada nilai sebagai manusia.

“Di sesetengah negara, haiwan pun memiliki pasport,” katanya yang berusia 30 tahun, sambil menunjukkan pasportnya yang sudah tamat tempoh pada 2018.

Sebaliknya, etnik Uighur ditawarkan dokumen perjalanan yang hanya boleh diguna bagi perjalanan sehala ke China, di mana mereka menghadapi kemungkinan ditahan, dianggap sebagai pendatang haram atau di hantar ke ‘kem latihan’.

Kini mereka mempertimbangkan kemungkinan terus menetap di Arab Saudi secara haram tetapi masih berhadapan risiko diusir pulang ke China sekiranya di berkas pihak berkuasa.

Lebih mengecewakan bagi masyarakat Uighur terbabit, negara majoriti Islam seperti Pakistan dan Mesir masih terus membisu biarpun tindakan China dianggap menganiaya mereka, kerana tidak mahu menyinggung Beijing, yang juga antara kuasa besar ekonomi global.

Seorang pelajar Uighur memberitahu AFP bahawa tiga rakannya yang dihantar pulang pada penghujung 2016 tidak dapat dikesan selepas tiba di China kerana berkemungkinan besar dihantar ke ‘kem latihan’.

“Malah, kami sendiri sudah dua tahun gagal menghubungi ibu bapa atau adik beradik kami di China, difahamkan mereka mungkin dihantar ke ‘kem latihan’ kerana kami belajar di Arab Saudi,” katanya.

Beberapa ratus etnik Uighur yang kini berada di Arab Saudi, kebanyakannya adalah golongan pelajar dan peniaga, difahamkan terputus hubungan dengan keluarga mereka yang ditahan di China.

Rata-rata mereka hidup dalam keadaan berwaspada kerana ada perisik China yang sentiasa memantau pergerakan mereka, biar pun di luar negara itu.

Seorang ahli perniagaan Uighur berkata dalam tempoh dua tahun lalu, bilangan etniknya yang tidak memiliki sebarang status semakin bertambah sehingga memaksa ramai melarikan diri ke Turki atau Sweden.

Pihak berkuasa China menyasarkan etnik Uighur yang berada di 26 ‘negara sensitif’, termasuk Arab Saudi, atas alasan mereka berpotensi ‘berfahaman esktremis’.

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *