Lelaki ini tumbuk, pijak kepala isterinya di stesen LRT, depan anak

(Gambar: CNA)

SINGAPURA: Seorang lelaki bertindak menumbuk muka isterinya berkali-kali dan terus menyerangnya meskipun beliau sudah rebah dan dalam keadaan tidak sedar, gara-gara berang isterinya berkeras tidak ingin pulang ke rumah.

Kejadian itu berlaku di stesen LRT di Bukit Panjang, di hadapan dua anak mereka – seorang perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki 7 tahun. Menurut pihak pendakwa, keadaan begitu terdesak dengan anak pasangan itu menangis dan memekik meminta lelaki itu berhenti. Seorang wanita yang menyaksikan serangan tersebut dari tingkap bilik tidurnya menelefon polis.

Lelaki berusia 35 tahun itu, yang tidak didedahkan namanya bagi melindungi identiti mangsa, mengaku bersalah pada Selasa (26 Nov) atas satu tuduhan sengaja mencederakan isterinya dengan serius dan melanggar Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) yang dikeluarkan terhadapnya.

Mahkamah diberitahu pasangan itu sudah berkahwin selama sembilan tahun, tetapi mengalami masalah rumah tangga beberapa hari sebelum kejadian itu. Malah, mangsa tinggal bersama ibu bapanya.

Pada sekitar pukul 10.00 malam pada 26 Ogos 2018, pasangan itu bersama dua anak kecil mereka berada di Stesen LRT Pending, apabila wanita itu memberitahu suaminya bahawa beliau ingin pulang ke rumah ibunya pada malam tersebut.

“Tertuduh tiba-tiba memegang kuat tangan mangsa dan memintanya pulang ke rumah mereka,” menurut Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Chin.

Apabila wanita itu enggan, beliau ditolak suaminya ke tembok dan mukanya ditumbuk sebanyak tiga kali.

Wanita berusia 35 tahun itu terjatuh dan pengsan.

TERTUDUH PIJAK ISTERINYA SEMASA BELIAU PENGSAN

Meskipun begitu, lelaki itu kemudian menendang mukanya sebanyak dua kali dan memijak kepalanya dua kali, menyebabkan muka wanita itu berlumuran darah dan menjadi bengkak.

Beliau cuba memekik meminta tolong, tetapi tertuduh menutup mulut beliau dengan tangannya.

Seluruh insiden itu disaksikan oleh orang awam, serta anak pasangan itu, yang menangis dan mememik meminta ayah mereka berhenti menyerang ibu mereka.

Seorang wanita berusia 47 tahun yang menyaksikan insiden itu dari bilik tidurnya serta merta menelefon polis apabila melihat lelaki itu memijak kepala mangsa.

Orang awam juga tampil membantu wanita itu.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami pelbagai kecederaan termasuk keretakan di bahagian dagu, cedera pada lengan dan jari serta pendarahan di tengkoraknya.
Lelaki itu akan dijatuhkan hukuman pada Januari depan.

– CNA

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *