Malaysia-Singapura wujudkan laluan hijau, mudahkan perjalanan

 

 

Malaysia-Singapura komited memudahkan perjalanan rentas sempadan. – Foto Mohd Azren Jamaludin

SINGAPURA: Laluan hijau dan aturan perjalanan akan diselaras antara Singapura dan Malaysia bagi memudahkan pelbagai pihak yang kerap melintas sempadan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Singapura hari ini, kemudahan itu diselaras selepas perbualan telefon antara perdana Menteri Malaysia, Tan Si Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong.

Kedua pemimpin itu berhubung semalam bagi membincangkan penyambungan secara berfasa perjalanan rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia.

Laluan Hijau Dua Hala (RGL), yang akan membantu perjalanan rentas sempadan bagi perniagaan utama dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara itu perlu berlandaskan pematuhan ketat terhadap langkah pencegahan COVID-19.

Isu berkaitan kesihatan umum itu masih dibincangkan dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua negara.

Aturan Perjalanan Berkala (PCA) akan membenarkan penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan, untuk kembali ke negara masing-masing secara berkala bila bercuti.

Mereka akan dibenarkan pulang selepas menghabiskan sekurang-kurangnya tiga bulan secara berterusan di negara tempat mereka bekerja dan dibenarkan kembali ke negara tempat bekerja selepas habis cuti.

Dalam panggilan telefon itu, difahamkan Hsien Loong menekankan komitmen Singapura bagi menyelesaikan masalah warga negaranya dan warga Malaysia yang kerap berulang-alik antara kedua-dua negara sebelum ini.

Dua pemimpin terbabit turut bersetuju bahawa sebarang persefahaman dua hala perlu mematuhi protokol kesihatan awam yang dipersetujui kedua-dua pihak bagi melindungi kesihatan awam dan keselamatan dengan mengambil kira sumber perubatan masing-masing.

Menurut Kementerian Luar Singapura, butiran operasi RGL dan PCA sedang diperincikan antara kedua-dua negara, yang akan terus membincangkan cadangan lain bagi memudahkan pergerakan merentasi sempadan secara beransur-ansur.

Ia bertujuan membantu kedua-dua negara mencapai proses penstabilan ekonomi kedua-dua negara yang terjejas akibat COVID-19. – AGENSI

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *