Masjid ditutup 5 hari mulai hari ini untuk dibersihkan

 

 

SINGAPURA: Kesemua 70 masjid di Singapura akan ditutup lima hari mulai hari ini bagi kerja pembersihan dengan solat Jumaat turut dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan wabak COVID-19.

Penutupan itu dibuat apabila dua rakyat negara itu disahkan positif COVID-19 selepas menghadiri satu acara keagamaan di sebuah masjid di Selangor.

Difahamkan, sekitar 90 orang warga Singapura menghadiri acara berlangsung penghujung Februari lalu dengan sebahagian mereka antara jemaah yang kerap sembahyang di beberapa masjid tempatan.

Justeru, bagi membendung pembentukan kluster baharu COVID-19, Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) mengarahkan penutupan semua masjid di Singapura berkuat kuasa hari ini.

Serentak itu, ceramah dan kelas agama dibatalkan sehingga 27 Mac ini.

MUIS turut memaklumkan, empat masjid yang ditutup dan selesai menjalani kerja pembersihan termasuk Masjid Jamae Chulia di South Bridge Road , Masjid Al Muttaqin di Ang Mo Kio, Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road dan Masjid Kassim di Changi Road.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Islam Singapura, Masagos Zulkifli, berkata empat masjid berkenaan dikenal pasti antara pusat ibadat lazim dikunjungi peserta acara keagamaan yang diadakan di Malaysia dan disahkan dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata, keputusan untuk menutup kesemua masjid di Singapura didorong keperluan mendesak bagi melindungi rakyat negara itu terutama golongan tua yang terdedah dengan risiko lebih tinggi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

“Kita perlu melindungi diri, masyarakat dan orang yang tersayang, apatah lagi ia memberikan kesan lebih besar kepada golongan berusia.

“Sebagaimana kita tahu, ramai dalam kalangan jemaah yang mengunjungi masjid adalah pesara dan warga emas, jadi langkah terbaik buat masa ini ialah elakkan perhimpunan besar di rumah ibadat,” katanya.

Difahamkan proses penilaian semula terhadap semua masjid di Singapura akan dijalankan hari ini terutama aspek kebersihan, sebelum arahan bagi pembukaan semula dikeluarkan.

Penutupan masjid di Singapura turut disokong Majlis Fatwa Singapura yang dipengerusikan oleh muftinya, Dr Nazirudin Mohd Nasir, memandangkan terdapat keperluan mendesak khususnya berkaitan kesihatan dan keselamatan orang awam.

“Majlis Fatwa melihat perkara ini dari pelbagai aspek dan mengeluarkan fatwa membenarkan penutupan masjid selain pemberhentian sementara sembahyang berjemaah, sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat.

“Ia disebabkan keadaan darurat yang dihadapi sekarang dan sangat penting untuk masyarakat di sini terus dilindungi,” katanya. – AGENSI

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *