Papua New Guinea ambil semula lombong emas

 

 

Gambar hiasan

SYDNEY: Operasi syarikat perlombongan Kanada, Barrick Gold di Papua New Guinea yang menghasilkan sekitar 10 peratus jumlah eksport negara itu dihentikan selepas kerajaan enggan melanjutkan pajakan 20 tahun.

Kegiatan perlombongan di Porgera yang diusahakan bersama syarikat dari China, Zijin Mining Group itu terpaksa dihentikan ‘sementara’ selepas kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan ia akan dipindah milik kepada syarikat tempatan.

Kes terbabit dijangka mendapat perhatian teliti daripada syarikat perlombongan lain yang beroperasi di negara itu.

Antaranya termasuk syarikat tenaga yang berurus niaga dengan kerajaan tetapi gagal memberikan pulangan pendapatan sebagaimana diharapkan pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan rasmi, askar dan anggota polis diarah berkawal bagi memastikan lokasi perlombongan itu bebas daripada sebarang kekacauan.

Lombong berkenaan mengeluarkan 284,000 auns emas pada 2019, dan ia dipercayai masih mempunyai simpanan sehingga 3.6 juta auns emas.

Barrick, yang memohon lanjutan pajakan selama 20 tahun lagi, berkata keputusan yang dibuat kerajaan Papua New Guinea itu tidak melalui proses ditetapkan.

Justeru, Barrick tekad untuk meneruskan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan itu dan menuntut ganti rugi sewajarnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape, mempertahankan tindakan yang diambil oleh kerajaan.

“Tempoh sewaan sudah tamat dan keputusan yang kami ambil adalah sah mengikut undang-undang,” katanya. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *