Pelajar sebak baca keputusan peperiksaan di kubur ibu

(Gambar: Agensi berita)

PETALING JAYA. Kebahagiaan menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) merupakan detik yang ingin Nur Aqilah Afiqah Muhammad Firdaus kongsi bersama ibunya.

Namun, oleh kerana ibunya sudah meninggal dunia dua tahun lalu, pelajar tahun enam dari Pulau Pinang itu menziarahi kubur ibunya pada Khamis lalu (21 Nov) untuk berkongsi kegembiraannya.

Kisah menyayat hati itu dikongsi oleh nenek Aqilah, Cik Aishah Mat Akat dalam catatan Facebook yang menjadi tular.

Dalam wawancara bersama mStar, Cik Aishah berkata cucunya seorang yang biasanya periang namun diselubungi emosi ketika menerima keputusan peperiksaannya.

Aqilah meminta neneknya menemaninya ke sekolah untuk mengambil keputusan UPSR.

Menurut Cik Aishah, Aqilah berkata kepadanya: “Opah (panggilan nenek) datanglah ke sekolah, ganti mama (panggilan arwah ibu). Kalau Opah tak datang, nanti kawan-kawan lain ada mama mereka. Aqilah dah tak ada mama untuk temankan tengok Aqilah ambil keputusan UPSR.”

Setelah mendapat keputusannya pula, Aqilah enggan membuka sampul yang mengandungi keputusannya.

Sebaliknya, Aqilah meminta neneknya menemaninya ke tanah perkuburan Islam Permatang Pauh yang terletak di hadapan sekolahnya untuk melawat arwah ibunya.

“Beliau kata beliau tidak kuat. Aqilah ingin berkongsi keputusannya bersama arwah ibunya.

“Menurut Aqilah, beliau merasakan kehadiran ibunya setiap kali beliau melawatnya di tanah perkuburan,” kata Puan Aishah.

Arwah ibu Aqilah iaitu Ariani Amir meninggal dunia pada November 2017 pada usia 35 tahun ketika melahirkan anak ketiganya.

Anak sulung daripada tiga adik beradik itu kini tinggal di bawah jagaan neneknya.

Setibanya di kubur ibunya, Aqilah membacakan markah yang beliau raih bagi setiap subjek di hadapan batu nisan kubur ibunya.

“Beliau menangis meskipun cuba menggagahi dirinya.”

“Saya hanya mendiamkan diri dan membiarkan beliau lakukan apa yang perlu. Aqilah sering berdialog dengan ibunya ketika berdoa di kuburnya,” kata Cik Aishah.

Sejak peninggalan arwah ibunya, Aqilah akan mengunjungi kubur ibunya setiap minggu.

Enggan Aqilah terus bersedih dengan pemergian ibunya, Cik Aishah sering menasihatkan Aqilah supaya bekerja keras agar berjaya kelak.

“Namun, resipi bihun ala-Singapura masakan ibunya adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh Aqilah dan kami sekeluarga,” kata Puan Aishah.

– Agensi berita

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *