Pencegahan awal bunuh diri dalam kalangan remaja perlu diperhebat

 

PESURUHJAYA Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Retno Listyarti.

JAKARTA: Kes bunuh diri di sebuah sekolah tinggi di Cibubur, Jakarta Timur bulan lalu mendorong tumpuan umum terhadap isu bunuh diri dalam kalangan remaja, yang jarang dibincangkan secara terbuka sebelum ini.

Seorang pelajar dilaporkan maut selepas dua hari dirawat di sebuah hospital akibat terjun dari tingkat empat di sebuah sekolah.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Retno Listyarti, berkata ia bukan yang pertama di Jakarta, sebaliknya kejadian sama berlaku di sekolah di Pademangan, Utara Jakarta, tiga bulan sebelum itu.

Kajian oleh Nova Yanti daripada Persekutuan Persatuan Psikiatri Asia, mendapati lima peratus daripada pelajar sekolah tinggi di Jakarta mempunyai keinginan untuk membunuh diri manakala tiga peratus lagi pernah melakukan cubaan bunuh diri.

“Ini adalah masalah serius yang perlu diselesaikan segera. Kita perlu mengambil langkah untuk mengurangkan kadar bunuh diri dalam kalangan remaja,” katanya.

“Di Indonesia, wujud kekurangan bagi mengesan dan pencegahan awal berkenaan bunuh diri dalam kalangan remaja di sekolah, selain sistem sokongan untuk membincangkan masalah serta meminta bantuan diperlukan mereka,” katanya.

Nova menegaskan, kaunselor di sekolah perlu berada di barisan hadapan untuk mencegah kes bunuh diri dalam kalangan pelajar, tetapi kebanyakan mereka hanya memberi kaunseling berkaitan masa depan berbanding kesihatan mental mereka.

“Salah seorang pesakit saya memberitahu bahawa rakannya (seorang pelajar) pernah mengalami gangguan seksual daripada gurunya, bagaimanapun aduan pelajar terbabit kepada kaunselor di sekolahnya tidak diendahkan,” katanya.

Kajian beliau turut mendapati sekolah muncul sebagai ‘stresor negatif’ terhadap pelajar dengan kebanyakan mereka ditemui sengaja membahayakan diri sendiri, walaupun institusi itu seharusnya menjadi lokasi selamat untuk mereka belajar.

Kajian itu turut mendapati, tanggapan membebankan dan kurang semangat kekitaan, selain kesunyian dan tidak boleh diharap adalah antara faktor menyebabkan pelajar mempunyai keinginan untuk membunuh diri.

“Kebanyakan pelajar menyatakan kekecewaan kerana pencapaian mereka kurang memberangsangkan berbanding jangkaan. Sebab lain termasuklah dibuli dan penderaan fizikal serta lisan,” katanya.

Ahli psikologi keluarga dan kanak-kanak, Anna Surti Ariani, berkata remaja mudah dipengaruhi dengan kemurungan dan mencederakan diri sendiri.

“Bahagian otak remaja yang memproses emosi sudah terbentuk sepenuhnya, sebaliknya bagi pemprosesan pemikiran waras belum lagi, sekali gus mengakibatkan kaedah berfikir mengikut perasaan.

“Perubahan hormon juga menyumbang kepada faktor ketidakstabilan emosi mereka,” katanya. – AGENSI

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *