Rumah Putih nafi Trump tahu risikan kerjasama Russia-Taliban

 

 

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. – Foto AFP8

WASHINGTON: Rumah Putih menafikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, diberikan laporan perisikan mendakwa Russia tawar ganjaran kepada Taliban jika bunuh tentera AS di Afghanistan.

Tawaran itu didakwa dibuat selepas Trump dilaporkan cuba membawa keluar tentera AS dari negara bergolak itu, sekali gus mengakhiri perang terpanjang negara itu.

Tuduhan itu pertama kali dilaporkan oleh The New York Times, yang memetik sumber, mendakwa bahawa Trump diberi penerangan berhubung hasil siasatan itu pada Mac lalu tetapi tidak membuat sebarang keputusan.

Setiausaha akhbar, Kayleigh McEnany, semalam mengesahkan presiden atau timbalannya tidak diberi penerangan berhubung tawaran yang Russia itu, namun menjelaskan ada kemungkinan maklumat risikan itu wujud.

“Ia tidak menjelaskan keseluruhan tuduhan itu tetapi adalah tidak tepat laporan The New York Times yang menyatakan Presiden Trump dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Taliban menafikan laporan itu dan menegaskan mereka komited pada perjanjian dengan Washington Februari lalu bagi memastikan pasukan tentera luar negara keluar dari Afghanistan menjelang tahun depan.

Kumpulan itu turut mendakwa, bahan letupan buatan sendiri adalah penyebab utama kebanyakan kematian tentera AS selain menafikan menerima senjata dari Russia.

Russia juga menafikan laporan itu menerusi kedutaannya di Washington, yang mengeluarkan kenyataan di Twitter menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘tuduhan tidak berasas dan tidak tepat, malah ‘mengancam keselamatan pekerja mereka’. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *