‘Syaitan buat saya melakukannya’

 

Michael Oluronbi

LONDON: Seorang pastor dihukum penjara 34 tahun di Britain, semalam, atas kesalahan merogol dan melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak serta orang dewasa selama lebih dua dekad

Tertuduh, Michael Oluronbi, melakukan ‘salah satu daripada kes paling teruk bagi penderaan seksual’ terhadap kanak-kanak, yang dihadapkan ke mahkamah, kata seorang hakim.

Oluronbi, 60, berasal dari Nigeria, disabitkan dengan 15 pertuduhan merogol, tujuh pertuduhan serangan tidak senonoh dan dua pertuduhan serangan seksual pada perbicaraan yang berakhir Januari lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh merogol mangsa-mangsanya yang kini sudah dewasa, dalam sekurang-kurang 88 kejadian berasingan.

Beberapa kesalahan itu dilakukan selepas tertuduh meyakinkan sesetengah mangsa untuk mengambil bahagian dalam upacara ‘mandi rohani’ yang didakwanya boleh ‘membersihkan’ mereka daripada roh jahat.

Mahkamah Birmingham Crown di England diberitahu, sebilangan mangsa yang muda turut mengandung beberapa kali.

Namun, Oluronbi yang juga seorang ahli farmasi terlatih, membawa mereka menggugurkan kandungan di klinik bagi menyembunyikan jenayahnya itu.

Hakim Sarah Buckingham menyifatkan Oluronbi sebagai ‘angkuh, mementingkan diri dan tidak berguna’.

“Anda menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepada anda.

“Mereka (mangsa) mempercayai anda seperti Tuhan… Dalam penghakiman saya, kesalahan anda pasti salah satu daripada kes paling teruk bagi penderaan seksual kanak-kanak yang dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Oluronbi yang digambarkan mangsanya sebagai bersikap ‘mengawal’, ditahan apabila seorang daripada mereka tampil membuat pendedahan.

Polis menahan Oluronbi di Lapangan Terbang Birmingham ketika paderi itu mahu ke Nigeria, tahun lalu.

Ketika ditanya mengenai kesalahan terbabit yang berlaku di Birmingham dan London sejak 1980-an, mahkamah diberitahu bahawa Oluronbi berkata: “Syaitan buat saya melakukannya.” – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *