Thailand sahkan tujuh kes baharu coronavirus

 

ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di Bangkok. – Foto Reuters

BANGKOK: Thailand hari ini mengesahkan tujuh kes baharu novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), termasuk seorang rakyat negara itu yang dibawa keluar pada Selasa dari bandar Wuhan, China yang teruk dilanda wabak itu, menjadikan jumlah mangsa dijangkiti setakat ini ialah 32 orang, kata seorang pegawai kesihatan awam.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Suwannachai Wattanayingcharoenchai, berkata kes tambahan yang disahkan itu terdiri daripada tiga rakyat Thailand dan empat rakyat China.

Beliau berkata, seorang mangsa yang dijangkiti virus itu adalah antara 138 rakyat Thailand yang dibawa pulang ke negara itu pada 4 Februari.

Pesakit itu dimasukkan ke Hospital Chonburi semalam selepas menunjukkan gejala koronavirus dan keputusan ujian makmal yang diterima pagi ini adalah positif bagi penyakit terbabit.

“Dua lagi rakyat Thailand yang dijangkiti didapati mempunyai kontak dengan pelancong,” katanya dalam satu taklimat kepada media di sini hari ini.

Empat pesakit rakyat China adalah terdiri daripada tiga ahli keluarga kes yang dilaporkan sebelum ini manakala seorang lagi adalah pelancong yang berasal dari kawasan berhampiran Wuhan, kata Suwannachai.

Daripada sejumlah 32 kes coronavirus yang disahkan di Thailand, 23 adalah rakyat China manakala sembilan lagi terdiri daripada penduduk tempatan.

Sepuluh pesakit telah dibenarkan keluar manakala 22 masih berada di hospital. – BERNAMA

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *