Wanita mati di hospital setelah tunggu 6 jam untuk ambulans

(Gambar: Agensi berita)

WALES: Seorang wanita berusia 47 tahun meninggal dunia setelah terjatuh di luar kawasan rumahnya dan menunggu selama beberapa jam di tepi jalan yang sejuk untuk ketibaan ambulans.

Mendiang Donna Gilby tidak dapat bergerak kerana patah kaki setelah terjatuh di tepi jalan di daerah Cwmaman di selatan Wales.

Keluarga Gilby mendakwa beliau terlantar di situ selama hampir enam jam sebelum sebuah ambulans tiba, Ketika itu jiran tetangga dan saudara maranya menyelimuti tubuhnya dengan kot dan selimut untuk cuba menghangatkan tubuhnya.

Dia akhirnya dibawa ke hospital, di mana beliau meninggal dunia akibat serangan jantung.

Khidmat ambulans Wales mengaku bertindak lebih lewat daripada biasa dan pihaknya telah melancarkan siasatan.

Menurutnya, peningkatan jumlah panggilan jenis keutamaan tinggi dan kelengahan dalam penyerahan kes kepada hospital menjejas waktu respons.

Bapa Gilby, Gareth Gilby, 74 tahun mengatakan mendiang tersandung ketika beliau keluar daripada keretanya.

“Tiada apa-apa yang boleh kami lakukan kerana beliau mengalami cedera parah dan kami tidak boleh mengalihkannya daripada laluan pejalan kaki itu,” katanya.

“Kami menelefon ambulans dan beliau berada dalam keadaan antara sedar dengan tidak namun, pihak ambulans masih belum tiba setelah beberapa jam.”

“Saya masih tidak boleh percaya beliau telah meninggalkan kami. Saya terkejut. Kami kini mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun tanpa seorang ibu. Ia tidak sepatutnya berlaku.”

Menurut keluarga Gilby, dia dalam perjalanan untuk temujanji doktor apabila dia terjatuh pada kira-kira pukul 8 pagi hari Selasa (17 Dis).

Mereka menghubungi ambulans namun, diberitahu oleh pegawai panggilan kecemasan bahawa mereka sedang menguruskan jumlah panggilan yang banyak pada waktu itu.

Bapa Gilby mengatakan bahawa dia percaya ambulans tiba tidak lama kemudian sebelum pukul 2 petang, lebih kurang enam jam selepas panggilan ambulans dibuat.

Ketua pegawai khidmat ambulans Wales, Jason Killens berkata: “Kami amat bersedih akan berita kematian Cik Gilby dan ingin mengutuskan takziah kepada keluarganya. Kami memohon maaf respons kami mengambil masa lebih lama daripada yang kami jangkakan. Khidmat ambulans kami disediakan untuk menjaga kebajikan para penduduk dan kakitangan kami berkongsi rasa terkilan dan sedih seperti para pesakit dan orang-orang tersayang dalam masa-masa begini.”

Penantian lama bagi ambulans merupakan tanda terdapat tekanan dalam keseluruhan sistem jagaan tidak berjadual, bukan sahaja di Wales tetapi di serata Britain. Kenaikan dalam jumlah panggilan jenis keutamaan tinggi dan kelengahan penyerahan kes kepada hospital menjejas keupayaan kami untuk memberi respons kepada panggilan kecemasan 999 secepat mungkin.”

– Agensi berita

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *