Wanita sarat hamil ditumbuk, ditendang dalam ‘serangan Islamofobia’ di Australia

Wanita sarat hamil ditumbuk, ditendang dalam ‘serangan Islamofobia’ di Australia

1 kali ditonton

SYDNEY. Seorang lelaki tempatan di Sydney didakwa kerana menumbuk dan memijak seorang wanita yang sarat mengandung tanpa provokasi, dalam apa yang disifatkan sebuah persatuan Islam terkemuka Australia sebagai satu serangan ‘Islamofobia’.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki menghampiri meja di mana tiga wanita bertudung sedang duduk bersembang di sebuah kafe di Sydney pada Rabu (20 Nov).

Walaupun tanpa provokasi, suspek berusia 43 tahun itu dilihat menerpa ke meja berkenaan dan menyerang mangsa berumur 31 tahun yang menurut polis, sedang hamil 38 minggu.

Setelah ditumbuk beberapa kali, wanita itu rebah dan dipijak sebelum orang ramai bertindak menarik penyerang tersebut.

Polis menyatakan seorang suspek sudah didakwa melakukan serangan yang menyebabkan bahaya kepada tubuh badan dan gaduh. Lelaki itu juga tidak ditawarkan ikat jamin.

Mereka enggan mengulas lanjut mengenai motif penyerang itu, namun tidak menolak bahawa beberapa dakwaan tambahan akan dikenakan ke atas suspek.

Majlis Persekutuan Islam Australia (AFIC), menyatakan pada Khamis (21 Nov) bahawa lelaki itu didengar “melaungkan ucapan kebencian anti Islam kepada mangsa dan rakan-rakannya”.

“Ini jelas sekali satu serangan perkauman serta Islamofobia dan kami mahu ia disiasat sedemikian,” kata presiden AFIC Rateb Jneid.

“Jika tidak kerana tindakan berani anggota masyarakat menghentikan serangan, mangsa mungkin mengalami kecederaan lebih teruk,” kata inspektor polis Luke Sywenkyj.

Wanita berkenaan yang dibawa ke hospital menyusuli serangan tersebut sudahpun dibenarkan pulang ke rumah, menurut polis hari ini.

Satu laporan baru-baru ini oleh para penyelidik di Universiti Charles Sturt mendapati Islamofobia di Australia adalah “satu fenomena berterusan” dan wanita bertudung paling berisiko.

Daripada 113 mangsa wanita yang dilaporkan diancam atau diganggu secara fizikal, pasukan penyelidik kajian mendapati 96 peratus daripada mereka bertudung.

– AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *